Atlet pelayaran negara, Ilham Wahab, menyifatkan kejayaan memenangi pingat perak dalam acara RS: ONE di pentas Sukan SEA Ke-30 sebagai pemangkin semangat buat dirinya untuk memburu slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ilham menghadirkan kegembiraan buat skuad pelayaran negara apabila berjaya meraih satu lagi pingat perak di Teluk Subic menerusi acara RS: ONE hari ini.

"Terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan. Saya gembira di atas kejayaan meraih pingat perak kali ini. Ini merupakan pencapaian yang membanggakan bagi saya apabila memperbaiki kemenangan pingat gangsa di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

"Berdepan juara dunia dalam saingan kali ini sungguh bermakna kerana ia adalah pengalaman yang cukup baik bagi saya untuk terus meningkatkan lagi mutu persembahan pada masa akan datang."

Emas milik wakil tuan rumah, Geylord Coveta sementara gangsa diperoleh Navin Singsart dari Thailand.

Secara keseluruhan, Malaysia meraih dua perak dan lima gangsa sepanjang temasya dwitahunan ini.