INDONESIA 2 SINGAPURA 0

Pemain gantian, Osvaldo Haay, muncul pemain Indonesia paling menyerlah ketika menewaskan Singapura 2-0 dalam perlawanan Kumpulan B, Sukan SEA Filipina di Stadium Memorial Rizal, Manila sebentar tadi.


Selepas menewaskan juara bertahan, Thailand, dengan keputusan sama kelmarin, kemenangan terbaru itu melonjakkan skuad kendalian Indra Sjafri berkenaan ke tangga kedua di belakang Vietnam selepas dua perlawanan.

Singapura pula sekadar terikat tanpa jaringan dengan Laos dalam perlawanan pertama dan terdesak memburu kemenangan ketika menentang Indonesia.

Ia dapat dilihat ketika skuad kendalian Fandi Ahmad itu jelas pasukan yang lebih baik dalam babak pertama.

Bagaimanapun, skuad Singa itu gagal memecahkan keampuhan juara Kejohanan AFF B-22 itu dengan sepakan percuma Lionel Tan ditolak ke palang oleh penjaga gol Indonesia, Nadeo Argawinata, pada minit ke-17.

Indonesia memaparkan aksi berbeza dalam babak kedua apabila memulakannya dengan ancaman ke kubu lawan.

Penyerang Lechia Gdansk, Egy Maulana, merupakan pemain pertama yang menguji gawang Singapura apabila gerakan solonya menewaskan beberapa pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan yang diselamatkan penjaga gol, Zharfan Rohaizad.

Pada minit ke-63, penyerang Persebaya Surabaya, Osvaldo, hampir memecahkan kebuntuan buat Indonesia, mujur kapten Singapura, Irfan Fandi, melakukan pintasan saat-saat akhir untuk menafikan jaringan itu.

Kedua-dua pemain itu sekali lagi bertembung dengan Osvaldo mendada bola untuk menewaskan pertahanan itu sebelum melakukan sepakan yang melepasi kawalan Zharfan bagi gol pembukaan.

10 minit kemudian, Osvaldo dan Irfan bertemu lagi di depan gawang Singapura dan penyerang Indonesia itu kelihatan dikasari dalam kawasan penalti.

Namun, pemain berusia 22 tahun itu bangkit untuk melorongkan bola yang disudahkan Asnawi Bahar bagi meletakkan Indonesia di laluan selesa selepas memperoleh dua kemenangan pertama peringkat kumpulan itu.

*Kredit foto: Radio Republik Indonesia