Cabaran besar buat atlet kuartet 4x400 meter campuran negara, Fathin Faqihah Mohd Yusuf, apabila senarai akhir pelari yang akan mewakili negara dalam Sukan SEA Filipina baru sahaja diumumkan Isnin lalu.

Fathin antara yang diberi kepercayaan untuk membuat penampilan dalam acara yang julung kali diwakili Malaysia itu di samping Teoh Kim Chyi, Muhammad Ilham Suhaimi serta Abdul Wafiy Roslan.

Lebih membimbangkan, skuad kali ini hanya akan memulakan latihan bersama bagi penyesuaian teknik bermula hari ini selain tiada sebarang pendedahan kejohanan sebelum beraksi dalam temasya dwitahunan itu.

Bagaimanapun, atlet berusia 23 tahun berkenaan tetap meletakkan sasaran untuk meraih sebarang warna pingat bagi acara 4x400m campuran itu.

"Kami belum tahu lagi mengenai kedudukan pelari, misalnya pelari pertama dan seterusnya.

"Di bahagian penyerahan baton juga belum pernah dicuba lagi tetapi semuanya dalam keadaan terkawal kerana kami sering berlatih bersama-sama dalam sesi latihan petang.

"Kami juga boleh berbincang selepas ini," katanya di Bukit Jalil.

Dalam pada itu, atlet kelahiran Sabah tersebut turut akan mengerah kudratnya dalam acara 400m wanita sambil bertekad memperbaiki catatan peribadi terbaiknya, 55.50 saat.

"Saya mahu melakukan yang terbaik dengan menyasarkan catatan bawah 55 saat bagi acara 4x400m campuran dan wanita."

Sebanyak 44 pingat emas ditawarkan dalam acara olahraga dan dua tahun lalu, kontinjen negara meraih lapan emas.