Pelari 110 meter berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian, menuntut bukti sahih daripada Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina 2019 (PHISGOC) untuk mengesahkan wakil tuan rumah, Clinton Kingsley Bautista, dinobatkan sebagai pemenang pingat emas.

Rayzam Shah melahirkan kekecewaan kepada pihak tuan rumah yang enggan memberi kerjasama apabila mencetus kekeliruan pelari yang menamatkan saingan di tempat pertama acara 110 meter berpagar itu.

Menurut pelari berusia 31 tahun itu, hanya 'photo finish' daripada sudut kiri yang ditunjukkan, sebaliknya ia sepatutnya hadir dengan kedua-dua belah kiri dan kanan.

Rayzam Shah juga hairan dengan pihak penganjur yang tergesa-gesa menjalankan upacara kalungan pingat meskipun dia mencuba untuk membuat protes sebaik menamatkan larian.

"Malaysia sedang melakukan bantahan terhadap keputusan perlumbaan, namun pihak penganjur tergesa-gesa untuk membuat penyampaian pingat emas, jadi saya agak kecewa," katanya.

Harapannya agar penganjur dapat berlaku adil, sekali gus dia dapat mengotakan janji pingat emas kepada Malaysia.

"Jika meraih pingat emas, ia adalah satu rezeki bagi saya dan akan menghadiahkannya kepada anak saya sempena hari jadinya (Isnin ini)."