Selepas dikecewakan di laman sendiri dua tahun lalu, atlet 100 meter lari berpagar wanita negara, Raja Nursheena Raja Azhar, mengintai pingat emas dalam Sukan SEA Filipina yang bakal bermula hujung bulan ini.

Saingan di Kuala Lumpur menyaksikan atlet berusia 28 tahun itu meraih pingat perak dengan catatan 13.92 saat -- tewas kepada wakil Vietnam, Tran Thi Ten Hoa, dengan perbezaan masa 0.08s.

Raja Nursheena menempah slot ke Sukan SEA Filipina, Ogos lalu, apabila meraih emas dalam Kejohanan Olahraga Tertutup Malaysia, namun terpaksa berpuas hati dengan catatan masa yang kurang memuaskan.

Bagaimanapun, dia optimis dengan sasarannya kali ini apabila kehadiran Pengarah Teknikal Skuad Olahraga Negara, Dwayne Miller, yang banyak membantunya memperbaiki kemahiran dan teknik larian.

"Dia banyak betulkan teknik dan kepantasan saya. Jadi setelah dia tolong dan ubah maka cara larian saya telah berubah," kata Raja Nursheena.

Sementara itu, jurulatih skuad olahraga negara, Ithnin Mahadi, menganggap bakal ada kejutan dilakar anak buahnya yang kini berada dalam keadaan bebas kecederaan.

"Ketiga-tiga anak buah saya memang sudah 100 peratus bersedia. Saya harap mereka dapat mencapai kemuncak prestasi pada masa yang tepat," katanya.