Ketua jurulatih skuad olahraga negara, Mohd Manshahar Abd Jalil, gembira dengan prestasi anak buahnya, terutama dua atlet muda yang mendominasi senarai penyumbang lima pingat emas untuk memastikan skuad kebangsaan mencapai sasaran dalam Sukan SEA Filipina.

Kebangkitan atlet muda menjadi petanda positif untuk skuad olahraga memandangkan pemenang emas, Mohd Haiqal Hanafi (100 meter) dan Yap Sean Yee (lompat tinggi wanita), berusia bawah 24 tahun.

Ia bukti Malaysia memiliki barisan pelapis mantap untuk menggalas tugas dalam kejohanan akan datang seperti saingan Grand Prix atau Sukan SEA Vietnam dua tahun lagi.

"Kami telah mengadakan perbincangan untuk perancangan jangka masa panjang sehingga Sukan SEA 2021 di Vietnam. Saya rasa ramai atlet dalam edisi ke-30 ini yang akan terus bersaing di masa akan datang," kata Manshahar.

"Emas ini amat bermakna kerana saya memang sasarkan emas bagi menggantikan kekecewaan yang saya lalui di Kuala Lumpur sebelum ini," tambah Sean Yee.