Jaguh 110 meter lari berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian, terpaksa melupakan hasrat untuk mendapatkan semula pingat emas dalam acara berkenaan daripada atlet naturalisasi tuan rumah, Clinton Kingsley Bautista, selepas Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) menolak rayuan berkenaan.

Perkembangan terbaharu itu disahkan Chef-de-Mission ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, yang mendedahkan bahawa PHISGOC telah membuat keputusan berkenaan berdasarkan jawapan balas daripada Persatuan Olahraga Asia Tenggara yang meneliti semula ‘photo finish’ yang diterima daripada PHISGOC.

Rayzam Shah dan Clinton mencatatkan masa yang sama, iaitu 13.97 saat, dalam acara berkenaan pada Isnin lalu, namun pihak teknikal pertandingan memberikan kemenangan kepada Clinton berdasarkan 'photo finish', sekali gus menyaksikan atlet kelahiran Sabah itu gagal mengekalkan emas yang dimenangi di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

“Mereka (PHISGOC) menolak kerana upacara penyampaian hadiah telah berlangsung dan keduanya, ‘photo finish’ menunjukkan memang pelari Filipina itu memenangi tempat pertama, dan saya memang sudah jangkakan dari awal.

”Sebab itu, apabila berlaku (kontroversi pemberian emas kepada gimnas Malaysia) tempoh hari, saya meminta upacara penyampaian hadiah jangan berlangsung sebab saya jangkakan mereka akan gunakan alasan ini,” katanya.

Sementara itu, Megat Zulkarnain memaklumkan PHISGOC bersetuju memasukkan semula nama gimnas kebangsaan, Izzah Amzan, sebagai pemenang bersama dengan seorang lagi gimnas kebangsaan, Koi Sie Yan, dalam acara apparatus reben.

Bagaimanapun, laman web rasmi Sukan SEA 2019;https://gms.2019seagames.com/RS2019/, menyaksikan PHISGOC masih mengekalkan nama Izzah selaku pemenang pingat perak acara berkenaan.

Tindakan terbaru PHISGOC itu menyaksikan Malaysia kekal mengutip 55 emas selepas berakhirnya pertandingan Sukan SEA, semalam.

Sie Yan dan Izzah sebelum ini mencatat kutipan 15.200 mata dalam apparatus reben tetapi juri mengisytiharkan Sie Yan sebagai pemenang pingat emas manakala Izzah di tempat kedua berdasarkan perbezaan tahap kesukaran melakukan rutin.

Pihak teknikal pertandingan, bagaimanapun, mengisytiharkan kedua-dua gimnas negara itu sebagai pemenang bersama selepas kem negara membuat bantahan terhadap keputusan awal oleh pihak juri.

Sehari kemudian, PHISGOC dilaporkan telah menarik balik pingat emas kerana dikatakan mengikut peraturan teknikal Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG) sekiranya dua gimnas terikat dengan keputusan sama, pemenang ditentukan mengikut tahap kesukaran rutin.

Izzah turut memenangi satu emas dalam acara bola serta satu pingat perak dalam acara gelung.

-- BERNAMA