Perlu ada acuan tepat untuk perkembangan positif buat skuad olahraga negara selepas dianggap sudah bersedia menjelang Sukan SEA di Filipina bulan depan.

Tempoh seminggu di Malaysia menyaksikan pengarah teknikal skuad olahraga negara, Dwayne Miller, memberi penerangan positif berdasarkan pemerhatiannya terhadap skuad kebangsaan.

Ternyata penglibatan jurulatih kelahiran Amerika Syarikat itu diterima baik ramai pihak selepas dia dilihat sering membantu dalam sesi latihan atlet.

Baginya, kebanyakan atlet kebangsaan mempunyai bakat luar biasa, namun beberapa langkah perlu diambil untuk memperkasakan lagi skuad olahraga.

"Latihan dan jurulatih berada dalam keadaan terbaik. Tiada apa kesilapan yang saya lihat, cuma beberapa perkara perlu dikenal pasti dan diperbaiki. Ia bukan kelemahan tetapi kekuatan yang perlu dipertajamkan," katanya.

Sementara itu, dia turut menyatakan hasrat untuk berkhidmat lebih daripada jangka masa ditetapkan selama tiga tahun di Malaysia jika diberi peluang.

"Kemudahan di sini bagus. Anda tidak boleh merungut tentangnya, termasuk sokongan daripada pengurusan."