Olahraga: Manshahar belum panik prestasi Zaidatul Husniah

Oleh Staff Writer 15 Oktober 2019 112
Olahraga: Manshahar belum panik prestasi Zaidatul Husniah
Ketua jurulatih skuad olahraga negara, Manshahar Abd Jalil, tidak gusar dengan prestasi pelari pecut wanita kebangsaan, Zaidatul Husniah Zulkifli, walaupun dia menamatkan aksi final 100 meter saingan Terbuka india di kedudukan terakhir.

Hasrat Zaidatul Husniah untuk meraih podium dalam kejohanan yang berlangsung di Ranchi itu tidak kesampaian apabila dia terpaksa akur menamatkan saingan dengan catatan masa 11.92 saat.

Catatan masa itu tidak menjadi kerisauan buat Manshahar jika pelari berusia 26 tahun itu bekerja keras menjelang Sukan SEA Filipina bulan depan.

"Dia telah menunjukkan keyakinan diri untuk bertanding dan mula melakukan pecutan sepatutnya. Itu yang penting. Dia tidak lagi bimbang mengenai kecederaan. Diharapkan dia masih mampu melakukan pencapaian terbaik seperti sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Manshahar berpuas hati dengan prestasi pelari pecut lelaki negara, Jonathan Nyepa, dalam kejohanan tersebut apabila menamatkan saingan 100m dengan catatan 10.47s, sekali gus meraih pingat perak.

Manshahar menganggap kejayaan tersebut mampu menjadi suntikan semangat kepada pelari berusia 23 tahun itu untuk menepati sasaran gelaran lelaki terpantas Asia Tenggara di Filipina nanti.

"Ini menunjukkan satu pencapaian yang berada di landasan betul. Jika diperbaiki lagi, Jonathan akan mampu melakukan yang terbaik dalam Sukan SEA nanti," tambahnya.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen