Ketua jurulatih skuad olahraga negara, Manshahar Abd Jalil, menganggap gandingan semula kuartet 4x100 meter wanita tidak berada di tahap membimbangkan, namun hanya perlu memperbaiki beberapa kelemahan menjelang Sukan SEA Filipina bulan depan.

Kuartet wanita negara membuktikan kemampuan mereka selepas berganding semula sejak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 apabila meraih pingat perak dengan catatan 45.97 saat dalam Kejohanan Terbuka India, Sabtu lalu.

Kejohanan tersebut merupakan pendedahan pertama buat kuartet negara berkenaan pada musim ini dan kejayaan itu meyakinkan Manshahar bahawa mereka mampu memberi saingan hebat di Filipina kelak.

"Kami perlu melihat daripada pelbagai sudut. Salah satunya mengenai kesefahaman pasukan yang menjadi elemen paling penting dalam 4x100m selain aspek teknikal.

"Saya juga akan berbincang dengan jurulatih dan atlet untuk memperbaiki kelemahan," katanya di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan Zaidatul Husniah Zulkifli, Siti Fatimah Adabi, S. Komalam Shelly dan Nurul Faizah Asma' Mazlan perlu menggandakan usaha dalam latihan bagi meningkatkan keserasian dan teknik.

Kali terakhir kuartet wanita negara memperbaharui rekod kebangsaan adalah dalam Kejohanan Trek dan Padang Terbuka Thailand pada 2017 menerusi catatan 45.19 saat.

"Dengan latihan yang gigih dan kesungguhan keempat-empat atlet ini berlatih, saya percaya rekod kebangsaan boleh dipecahkan."