Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) tidak akan merombak senarai 49 atlet ke Sukan SEA Filipina walaupun jaguh pecut gagal mempamer catatan masa terbaik dalam Kejohanan Innotex Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) yang tamat semalam.

Pelari berusia 15 tahun, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, mencatat masa lebih pantas berbanding Jonathan Nyepa dan Khairul Hafiz Jantan yang akan menyertai Sukan SEA Filipina hujung bulan ini apabila memecah rekod acara 100m Kejohanan Olahraga Innotex SSBJ di Trek Majlis Sukan Negara (MSN) kelmarin.

Atlet kelahiran Perak itu mencipta sensasi apabila memperbaharui catatan peribadi terbaik dengan merakamkan masa 10.57 saat untuk mengangkatnya selaku juara kategori bawah 16 tahun.

Bagaimanapun, tiada pertukaran dalam senarai atlet yang akan beraksi dalam temasya dwitahunan itu selepas pendaftaran ditutup dua minggu lalu.

Prestasi atlet pecut negara seperti Jonathan dan Khairul Hafiz yang bakal beraksi di Manila agak kurang memberangsangkan.

Namun, berdasarkan carta periodisasi latihan, mereka dijangka mencapai tahap terbaik dalam temasya tersebut.

Azeem, yang turut beraksi cemerlang memenangi acara 200m, tidak tersenarai bersama skuad negara bagi menghadapi Sukan SEA.

Untuk butiran lanjut, ikuti Nadi Arena jam 7.30 dan 11 malam ini.