Kepenatan yang dialami Muhaizar Mohamad menghalangnya untuk mencatatkan keputusan lebih baik daripada pingat gangsa yang diraih dalam acara maraton Sukan SEA Ke-30 hari ini.

Muhaizar mengakui catatan 2 jam 33 minit 08 saat itu kurang memuaskan berbanding di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Pingat emas diungguli oleh wakil Indonesia, Prayogo Agus, dengan masa 2:26.48s, diikuti Namkhet Sanchai dari Thailand, 2:27.18s.

"Banyak perkara yang saya perlu uruskan sebelum perlumbaan saya bermula dan agak kepenatan. Tetapi ia tidak seharus dilihat sebagai masalah kerana perlu memberikan tumpuan yang jauh lebih baik," kata Muhaizar.

Atlet berusia 34 tahun itu mengakui mampu melakar rekod lebih baik jika mempunyai tempoh persediaan awal.

Sebelum ini, Muhaizar muncul sebagai atlet pertama yang menyumbang pingat melalui acara maraton sejak 1973.

"Jika saya sampai lebih awal, mungkin saya dapat mengikut kelompok utama."