Ketua jurulatih skuad olahraga negara, Mohd Manshahar Abdul Jalil, menegaskan pasukan kendaliannya sudah cukup bersedia menjelang saingan Sukan SEA bulan depan.

Kejohanan Innotex Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) pada 16 dan 17 November depan bakal jadi medan persiapan terakhir buat skuad olahraga sebelum ke Filipina.

Perkara yang merisaukan pengendali berusia 59 tahun itu buat masa ini hanyalah kecederaan pada saat-saat akhir yang mampu menjejaskan prestasi atlet negara.

Bagaimanapun, dia berharap rata-rata atlet negara yang berada di ranking nombor satu Asia Tenggara dapat mengekalkan momentum untuk menghadirkan kilauan pingat di Filipina nanti.

"Seperti yang sedia maklum, barisan atlet kini berada pada prestasi tinggi. Antaranya adalah Lee Hup Wei (lompat tinggi), Hakimi Ismail yang memegang rekod lompat kijang Sukan SEA serta Jackie Wong (baling tukul besi). Mungkin akan ada satu atau dua pingat, insya-Allah," katanya.

Bagi skuad 4x400 meter negara, meskipun menghadapi bilangan kejohanan terhad sebagai persiapan, ia tidak akan membataskan persiapan mereka untuk bergelar pencabar di Filipina nanti.

"Setakat ini tiada masalah. Semuanya berjalan lancar, atlet juga bermotivasi tinggi dan sentiasa berlatih mengikut arahan. Jelas bahawa mereka meletakkan sasaran sebagai atlet yang akan mewakili negara."