Kelibat wakil Filipina, Natalie Uy, menjadi kegusaran atlet lompat bergalah negara, Chuah Yu Tian, selain kurang pendedahan kejohanan menjelang Sukan SEA bulan depan.

Yu Tian terlepas peluang beraksi dalam pra-Sukan SEA Filipina dan kini hanya Kejohanan Innotex Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) akan persiapan terakhir sebelum Sukan SEA membuka tirai.

Atlet berusia 26 tahun itu melakar rekod baru 3.90 meter dalam aksinya ketika Terbuka Kuala Lumpur, Ogos lalu dan kini menyasarkan untuk meraih catatan 4m.

Lebih merisaukannya selain kurang pendedahan kejohanan ialah penampilan atlet tuan rumah, Natalie, yang meraih gangsa dalam Kejohanan Trek dan Padang Asia, April lalu.

"Saya mempersiapkan diri untuk pra-Sukan SEA tetapi tiada rezeki untuk ke sana. Ada dua kejohanan memang baik tetapi kini hanya satu," katanya.

Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangat pemenang pingat perak Sukan SEA 2017 itu untuk meraih sekurang-kurangnya podium bulan depan.

"Setakat ini sesi latihan berjalan lancar, tiada masalah. Saya rasa banyak perkara teknikal telah meningkat dan itu adalah fokus utama."