Olahraga: Jackie terima tamparan besar

Oleh Penulis Jemputan 7 Disember 2019 2725
Olahraga: Jackie terima tamparan besar
Jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong, menerima tamparan berganda apabila bukan sahaja gagal mempertahankan pingat emas dalam Sukan SEA Filipina, malah hilang rekod temasya itu kepada atlet Thailand, Kittipong Boonmawan, di Stadium Olahraga New Clark City hari ini.

Jackie sekadar mencatatkan 63.83 meter, jauh ketinggalan di belakang Kittipong yang memecahkan rekod Sukan SEA dengan 67.56 meter.

"Pertama sekali, saya ingin memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana gagal meraih pingat emas untuk negara, namun telah cuba memberikan yang terbaik," katanya.

"Saya tidak pasti apa yang berlaku dalam aksi final. Buat masa ini, saya perlu menilai semula persembahan saya.

"Ini merupakan kali pertama saya tewas kepada Kittipong, saya akan kembali menampilkan persembahan yang lebih baik."

Sementara itu, atlet lompat jauh, Andre Anura Anuar, menghadirkan sinar untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila muncul rakyat Malaysia pertama melepasi jarak 8 meter.

Atlet kelahiran Sabah itu mencatatkan 8.02 meter untuk memecahkan rekod kebangsaan 7.88 meter milik Josbert Tinus yang dilakukan 12 tahun lalu.

Bagaimanapun, dia terpaksa berpuas hati dengan pingat perak apabila jaguh Indonesia, Sapwa Turrahman, meraih emas dengan kelebihan 0.01 meter.

"Saya hampir gagal melangkah ke final kerana lompatan pertama dan kedua dibatalkan. Saya cuba mengawal teknik dan mengambil langkah yang tepat sebelum berjaya melakukan lompatan terbaik," katanya.

Final acara 200 meter lelaki pula menyaksikan permulaan lembap pelari negara, Russel Alexander Nasir Taib, yang terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa dengan catatan 21.11 saat.

Pemegang rekod kebangsaan itu cuba mencabar, namun terpaksa akur dengan kepantasan pelari Thailand, Khayut Khangprasit, yang meraih emas dengan 20.71 saat.

Seorang lagi pelari negara, Jonathan Nyepa, menduduki tempat ketujuh dengan 21.41 saat.

"Saya perlu membiasakan lagi diri beraksi dalam kalangan pesaing di Asia Tenggara dan apa yang berlaku hari ini, saya berjaya menamatkan saingan di tempat ketiga," kata Russel.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen