Kegagalan meraih podium dalam Kejohanan Olahraga Dunia di Doha, Qatar bulan lalu tidak mematahkan semangat atlet lompat tinggi kebangsaan, Lee Hup Wei, untuk merealisasikan impiannya melakar nama di pentas Asia Tenggara.

Hup Wei -- yang menamatkan Kejohanan Dunia di tempat kelapan -- mengubah tumpuannya untuk persiapan ke Sukan SEA Filipina yang akan bermula hujung bulan ini.

Ketika ini, catatan ketinggian 2.24 meter milik atlet berusia 32 tahun itu menyamai rekod yang dipegang bekas atlet kebangsaan, Loo Kum Zee, yang dilakar dalam Sukan SEA 1995 di Thailand.

Sebelum ini, dia sekadar berpuas hati meraih pingat perak dalam temasya di Kuala Lumpur, dua tahun lalu, membuatkannya enggan mensia-siakan peluang untuk meraih kejayaan dalam edisi kali ini.

"Saya sasarkan mahu pecahkan rekod Sukan SEA, 2.24m. Mungkin kami akan cuba lakar 2.25m atau lebih. Saya dengar keadaan trek di sana sangat lembut," katanya.

Dalam masa sama, meskipun pemenang emas Sukan Asia 2007 itu menganggap rakan senegara, Nauraj Singh, sebagai pencabar terhebatnya, namun sikap saling memberi semangat tetap penting buat Hup Wei.

"Nauraj juga bagus. Kami perlu cabar satu sama lain untuk dapatkan keputusan lebih baik. Ia juga boleh membuatkan kami mengutip mata bagi kelayakan ke Sukan Olimpik 2020," tambahnya.