Meskipun mencatat 3 minit 44.79 saat, kuartet 4x400 meter wanita negara terlepas peluang untuk meraih pingat emas dalam Kejohanan Prasukan SEA di Filipina setelah ditewaskan Thailand.

Barisan yang diperkuatkan oleh Fathin Faqihah Mohd Yusuf, Nurul Faizah Asma Mazlan, Teo Kim Chi dan Zaimah Atifah Zainuddin itu gagal mendapatkan emas, namun ia dilihat sebagai satu persediaan yang baik sebelum menghadapi saingan sebenar bulan depan.

Bagi Faizah, yang turut bakal menggalas cabaran negara dalam acara 200m, apa yang penting adalah setiap pelari mengekalkan kecergasan sambil menyasarkan untuk memperbaiki rekod peribadi di Filipina nanti.

"Masing-masing berlatih secara individu dan saya tetap berhubung dengan Fathin Faqihah, memintanya untuk kekalkan kecergasan. Sehari sebelum ke Filipina barulah kami berjumpa. Kami hanya turun berlari dan memberitahu Teo Kim Chi agar tidak gentar," katanya.

"Sebenarnya, tempoh yang ada tidak cukup untuk meraih pengalaman tetapi masa tidak panjang. Jadi, kami hanya berlatih dan percaya dengan diri sendiri.

"Untuk acara 200m, saya sasarkan untuk ke final dan jika berjaya, saya mahu meraih catatan peribadi terbaik."