Pemburuan dua pingat emas menjadi sandaran skuad olahraga negara petang ini bagi misi menepati sasaran lima emas dalam Sukan SEA Filipina.

Jaguh lontar cakera negara, Irfan Shamsuddin, antara yang menjadi tumpuan apabila akan turun selaku juara bertahan, namun bakal berdepan saingan getir daripada lapan pencabar, khususnya atlet tuan rumah, William Edward Morrison III, yang merupakan atlet naturalisasi.

Hakimi Ismail (lompat kijang) turut menjadi harapan negara untuk menepati ramalan mempertahankan emas apabila unggul menerusi rekod temasya, 16.77 meter, dua tahun lalu.

Dia akan ditemani atlet muda, Andre Anura Anuar, yang masih segar memperbaharui rekod lompat jauh kebangsaan yang berusia 12 tahun menerusi catatan 8.02m untuk meraih perak.

Selain itu, Ruslem Zikry Putra, yang akan beraksi dalam final tanpa melalui peringkat saringan ekoran kekurangan peserta, turut mengintai kejutan dalam acara 3,000m lari berhalangan.