Timbalan Chef-De-Mission (CDM) Sukan SEA, Nurul Huda Abdullah, melahirkan rasa kecewa terhadap kelewatan tuan rumah, Filipina, menyiapkan beberapa venue pertandingan.

Mesyuarat terakhir melibatkan CDM setiap negara hanya akan berlangsung Isnin ini di Filipina bagi mendapatkan perkembangan terbaru mengenai kelewatan menyiapkan venue.

Tatkala saingan berbaki kurang sebulan sebelum temasya membuka tirai, Nurul Huda mengakui risau permasalahan itu mungkin memberi kesan terhadap persediaan skuad negara.

"Sedikit mengecewakan memandangkan saingan semakin hampir dan venue masih belum dapat disiapkan.

"Mereka sedar tentangnya, malah ketika majlis penyerahan obor Sukan SEA awal bulan ini, saya bertemu beberapa wakil penganjur. Mereka tahu perlu menyelesaikannya dalam tempoh masa singkat," katanya.

Sementara itu, skuad muay thai kebangsaan bakal menghantar dua wakil, Hatim Rumijam dan Mohd Ali Ismail, bagi mewakili kategori baru yang dipertandingkan, iaitu wai kru.

"Persiapan kami telah menghantar jurulatih ke pusat latihan di bawah pemantauan badan induk dunia. Kami menerima nasihat daripada badan induk dunia untuk menghantar atlet dan jurulatih ke sana," ujar pengurus skuad muay thai negara, Saifulnizam Mohd Shahar.