Bekas perenang negara, Nurul Huda Abdullah, menganggap dirinya bertuah selepas kekal mempertahankan rekod sebagai pemenang pingat emas paling banyak dalam Sukan SEA.

Nurul Huda yang juga timbalan chef-de-mission Sukan SEA Ke-30 memegang rekod itu dengan 22 pingat emas.

Dilakukan di antara 1983 dan 1989, rekod 30 tahun itu telah dicabar ratu boling negara, Shalin Zulkifli, yang turun beraksi di Manila.

Ini selepas Shalin terpilih mewakili negara pada usia 41 tahun -- ketinggalan dua emas di belakang Nurul Huda.

Begitupun, Shalin gagal menambah kilauan emas dalam dua acara disertainya, sekali gus rekod berkenaan kekal milik bekas ratu renang itu.

"Saya sangat bertuah untuk memegang rekod itu untuk dua tahun lagi tetapi saya telah katakan sebelum ini, saya telah memegangnya selama 30 tahun dan rekod adalah sesuatu yang dipecahkan dan saya yakin Shalin akan kembali bersaing dalam saingan seterusnya dan cuba meraih tiga emas," katanya.