Pelari negara, Nurul Faizah Asma Mazlan, yakin kuartet 4x400 meter wanita negara berupaya menyinar dalam Sukan SEA Filipina hujung bulan depan meskipun kali pertama digandingkan dalam Kejohanan Prasukan SEA di venue sebenar minggu lalu.

Kejohanan itu menampilkan aksi sulung buat gandingan Nurul Faizah Asma, Fathin Faqihah Mohd Yusuf, Teo Kim Chi dan Zaimah Atifah Zainuddin.

Malaysia meraih pingat perak dengan catatan 3 minit 44.79 di belakang Thailand, yang mencatat 3 minit 43.56 saat.

Namun, pelari negara itu optimis untuk melakar kejutan dalam perlumbaan sebenar bulan depan.

"Kalau boleh, kami mahu memperbaiki catatan masa dan meraih pingat perak

"Sekarang ini, dalam kategori 4x100 meter, perebutan pingat gangsa agak terbuka dan mana-mana negara boleh mendapatkannya.

"Vietnam dan Thailand akan bersaing untuk dua kedudukan yang lebih baik.

"Jadi, kami akan cuba untuk mendapatkan pingat perak," katanya.

Dalam pada itu, Nurul Faizah Asma turut diberikan kepercayaan untuk mewakili negara dalam acara 200 dan 4x100 meter.

"Kalau ikutkan jadual (perlumbaan), saingan individu saya (akan berlangsung) pada hari pertama.

"Jadi, saya boleh menumpukan kepada acara berpasukan pula selepas itu," tambahnya.