Bekas ratu skuasy negara, Datuk Nicol David, dilantik sebagai mentor kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Filipina, dua hari sebelum temasya itu membuka tirai secara rasmi Sabtu ini.

Ia merupakan kali pertama seorang mentor dilantik bagi membakar semangat atlet negara dalam temasya itu.

Meskipun sudah bersara, bekas pemain skuasy nombor satu dunia itu mampu menjadi inspirasi buat atlet yang akan mengibarkan cabaran negara di Filipina.

"Saya percaya pelantikannya sebagai mentor dapat memberikan semangat dan inspirasi kepada atlet muda," kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Seperti yang kita tahu, Sukan SEA merupakan platform untuk melatih bakat-bakat muda.

"Inilah masanya untuk mereka membuktikan diri dengan membanggakan Malaysia.

"Dan saya amat yakin Datuk Nicol dapat memberikan kata-kata semangat kepada mereka untuk menghadapi waktu-waktu sukar," katanya.

Nicol menyifatkan pelantikannya itu sebagai satu penghormatan dan akan berlepas ke Filipina, Jumaat depan untuk menyertai kontinjen negara.

"Perasaannya agak berbeza kerana apabila anda bermain untuk negara, ia merupakan sesuatu.

"Tetapi untuk mewakili keseluruhan (kontinjen) negara, ia merupakan peranan berbeza yang membuatkan saya berasa dihargai.

"Saya amat teruja, saya mendoakan kejayaan setiap atlet kerana mereka sudah melakukan yang terbaik dan hanya perlu menikmati setiap acara," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, mengesahkan isu kekurangan makanan halal hanya berlaku di Manila dan tiada sebarang laporan diterima daripada venue-venue di Clark.

"Masalah banyak timbul di Manila kerana (mereka menginap) di hotel.

"Di perkampungan sukan, tiada isu itu.

"Di hotel juga sudah mula menyediakan makanan-makanan halal.

"Nampaknya seperti ada peningkatan tetapi kami masih membawa Brahim (makanan segera) kerana ia merupakan cita rasa kita," katanya.