Muay: Zulhilmi tempuh ujian getir

Oleh Staff Writer 3 Disember 2019 132
Muay: Zulhilmi tempuh ujian getir
Atlet muay negara, Zulhilmi Rosli, berdepan ujian getir apabila bukan saja acaranya itu ditangguhkan ekoran masalah teknikal, malah keluarganya sedang menghadapi banjir di Kampung Pasir Kota, Kota Bharu, Kelantan.

Bagaimanapun, atlet berumur 19 tahun itu perlu kekal fokus walaupun berdepan pelbagai ujian sebelum membuat penampilan sulung dalam temasya edisi ke-30 itu dalam kategori 48kg di Pusat Pameran dan Pertunjukan Subic Bay.

Apa yang lebih membimbangkan ialah keselamatan keluarganya di kampung yang ketika ini terpaksa menghadapi banjir.

"Ia sedikit-sebanyak memberi kesan kepada saya kerana risau dengan keluarga di kampung. 

"Dengar kata banjir kali ini agak besar juga.

"Tetapi saya tetap memberi fokus kepada sesi latihan," katanya. 

Muay yang sepatutnya bermula hari ini terpaksa ditangguhkan sehari ekoran masalah teknikal.

Begitupun, ia tidak menjejaskan sasaran Malaysia dalam pemburuan satu pingat emas.

"Dengan ketiadaan wakil Thailand, saya perlu cuba beri cabaran kepada peserta Laos, Filipina dan Indonesia," kata wakil negara dalam kategori 57kg, Mohd Ali Yaakob.

Skuad muay negara meraih dua emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen