Kombinasi teknik dari Thailand dan Russia menjadi percaturan skuad muay thai negara dalam usaha untuk menghadirkan pingat tatkala majoriti atlet bakal meraih penampilan pertama di pentas Sukan SEA bulan depan.

Jika sebelum ini kem kebangsaan menerima sentuhan sepenuhnya jurulatih dari Thailand, Choochart Luangphon, tetapi sejak awal bulan ini, kelibat pengendali dari Russia, Olec Terekhov, mula mencuri tumpuan.

Kombinasi teknik Thailand-Russia itu tampak mampu menjadi pertaruhan utama kem kebangsaan jika mengambil kira elemen tradisional yang dibawa oleh Luangphon sambil Terekhov mengutamakan faktor sains sukan dalam setiap ilmu yang dikongsikan.

"Untuk Thailand, corak latihan lebih terarah kepada elemen tradisional manakala di Eropah, mereka mula menyentuh aspek sains sukan dan kecergasan. Ingin saya tekankan bahawa aksi profesional dan amatur amat berbeza," kata pengurus skuad muay thai negara, Saifulnizam Shahar.

Malaysia mempertaruhkan seramai tujuh atlet yang akan beraksi dalam enam daripada sembilan kategori yang dipertandingkan di Filipina nanti.

Atas dasar undian yang dilihat memihak Malaysia sambil berjaya mengelak gergasi, Thailand, harapan emas diletakkan sepenuhnya di bahu setiap atlet yang ditunjangi Mohd Fazzatkie Mohd Zaki di samping Riedzwan Norsyahmie Daud serta Zulhelmi Rosli.

"Jika kami menerima undian yang bagus, insya-Allah kami akan dapat menyumbang sesuatu buat negara. Sasaran kami adalah satu emas dan secara peribadi, kami harap dapat tambah satu lagi. Ia bergantung kepada undian jika dapat mengelak pencabar utama di peringkat awal," kata Saifulnizam lagi.