Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC) akhirnya mendedahkan senarai penuh barisan atlet yang akan membawa cabaran negara dalam Sukan SEA Filipina hujung bulan ini.

Ia selepas pendekatan MTBC untuk melewat-lewatkan pengumuman itu membuahkan hasil yang luar biasa dalam Kejonanan Asia di Kuwait minggu lalu.

Skuad negara membawa pulang enam pingat emas, satu perak dan empat gangsa untuk dinobatkan juara keseluruhan kejohanan itu.

Setibanya skuad negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini, MTBC menerusi presidennya, Datuk Dr. P. S. Nathan, mengumumkan senarai akhir untuk ke Filipina.

"Bagi skuad lelaki ialah Rafiq (Ismail), Timmy (Tan), Tun Hakim (Tun Hasnul Azman) dan Muaz (Fishol).

"Bagi skuad wanita pula, (Sin Li) Jane, Esther (Cheah), Siti Safiyah (Amirah Abdul Rahman) dan Shalin (Zulkifli).

"Kami memilihnya berdasarkan keputusan jawatankuasa pemilihan," katanya.