Hasrat skuad e-sukan negara untuk menambah atletnya dalam Sukan SEA Filipina bulan depan mendapat sambutan positif daripada Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria.

Rayuan itu dibuat pengurus skuad negara, Firdaus Hashim, untuk menambah atlet dalam acara Tekken 7 yang dikatakan mampu menambah kilauan pingat kontinjen negara dalam temasya dwitahunan itu.

Belanjawan 2020 yang diumumkan baru-baru ini turut meletakkan fokus terhadap sukan elektronik dan Norza mahu menjadikan Sukan SEA sebagai satu platform untuk memartabatkan sukan itu.

"Kerajaan sudah mengumumkan dalam Bajet bahawa mereka hendak fokus terhadap e-sukan dan kami mahu menyokong saranan kerajaan itu.

"Mengenai permintaan itu, saya rasa ia agak berpatutan," katanya.

Setakat ini, hanya Muhammad Zarif Aiman Aris akan mewakili negara dalam acara Tekken 7.

Abdul Rahim Abdul Shukor pula diletakkan dalam senarai menunggu menjelang pengumuman keputusan itu.

"Mereka menyatakan dalam surat rayuan tersebut bahawa penambahan itu akan mencerahkan harapan mereka untuk mendapatkan pingat.

"Jadi, saya rasa kami secara positifnya akan mempertimbangkan rayuan itu," tambahnya.