Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan mendapat gambaran lebih jelas mengenai status venue acara menembak dalam mesyuarat chef-de-mission (CDM) di Manila bermula esok selepas Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) tidak dapat memberi jaminan mengenai status Pusat Latihan Polis Marin di ibu negara itu.

MOM akan diwakili Timbalan CDM, Ahmad Faedzal Md Ramli dan Nurul Huda Abdullah.

Perkembangan mengenai venue itu mengundang kebimbangan kerana ia satu-satunya yang belum dapat diputuskan oleh PHISGOC -- berbaki sebulan sebelum temasya itu bermula.

Difahamkan, badan penganjur itu mempunyai pelan B, namun enggan mengumumkannya

"Setakat ini, seperti yang kita tahu, venue bagi acara pistol dan rifle ialah di Manila manakala shotgun di Subic.

"Tetapi mungkin ada perubahan lagi, jadi kami menunggu (keputusan) daripada lawatan ini.

"Kalau ada apa-apa perubahan, kami akan maklumkan," kata Setiausaha Agung MOM, Datuk Nazifuddin Najib.

Turut mengundang persoalan adalah keputusan sama ada padang asli atau tiruan akan digunakan di venue boling padang.

"Sama ada padang asli atau tiruan, kami belum mendapat maklumat lagi.

"Kami sudah menghantar (surat) pertanyaan mengenai persiapan mereka.

"Mungkin kami akan dapat jawapannya daripada lawatan ini," tambah Nazifuddin.