Adakah kontinjen negara, yang akan ke Sukan SEA Filipina hujung bulan ini, akan mengatasi rekod pungutan pingat terbanyak dalam temasya yang dipertandingkan di luar Malaysia?

Kontinjen negara kini sudah berada dalam fasa terakhir menjelang temasya itu dengan bengkel penetapan sasaran pingat diadakan di Kelab Golf dan Resort Kinrara bermula hari ini.

Seramai 725 atlet akan mewakili negara dalam 52 daripada 56 acara yang dipertandingkan di Manila dan setiap pengurus pasukan akan menetapkan sasaran Malaysia dalam temasya itu.

"Kami sudah ada jumlah (sasaran pingat) yang realistik," kata Chef-de-Misson Malaysia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

"Tetapi ia hanya dibuat di peringkat dalaman sahaja.

"Jadi, hari ini kami panggil mereka untuk berbengkel selama dua hari untuk melihat sama ada sasaran yang kami letakkan itu sejajar dengan apa yang dicadangkan persatuan atau tidak.

"Persatuan lebih mengetahui cabaran dan pesaing mereka bagi sukan masing-masing," katanya.