Mereka banyak bercakap, inginkan publisiti -- Kim Swee

Oleh Bernama 6 Disember 2019 10108
Mereka banyak bercakap, inginkan publisiti -- Kim Swee
Ketua jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, tidak senang dengan andaian yang ditimbulkan sesetengah pihak terhadap kegagalan pasukannya dalam Sukan SEA Filipina.

Skuad bimbingannya yang dibarisi antara pemain muda terbaik negara mempamerkan prestasi hambar apabila hanya mengumpul empat mata daripada empat perlawanan, malah diaibkan Kemboja 1-3, sekali gus gagal mara ke peringkat separuh akhir.

Kegagalan itu menyaksikan pelbagai kritikan dilempar terhadap prestasi barisan pemainnya selain turut mempertikaikan penggunaan formasi 3-4-3 dalam pasukan kendaliannya.

Jurulatih, yang membawa Malaysia merangkul emas pada edisi Sukan Edisi 2011 di Jakarta itu, menyifatkan tindakan sesetengah pihak itu sebagai meraih publisiti.

“Tiada masalah daripada segi formasi kita, hanya segelintir pembaca dan pemberita sukan yang mempertikaikannya. Saya percaya mereka ini banyak bercakap serta inginkan publisiti,” katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam tadi. 

Pasukan kebangsaan di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe menerapkan formasi 4-3-3 yang merupakan formasi asas DNA bola sepak Malaysia yang dipanggil ‘Cara Malaysia’ yang dilancarkan Julai lalu.

Skuad Harimau Malaya mempamerkan prestasi cemerlang menerusi corak formasi itu, namun formasi 3-4-3 digunakan Kim Swee turut menghasilkan permainan berkualiti serta melakar kemenangan yang membanggakan, termasuk kejayaan menundukkan Korea Selatan 2-1 dalam Sukan Asia 2018.

“Ketika kami menang dalam kejohanan yang lepas dengan sistem yang sama, ia tak dipertikaikan. Jadi, ini semua hanya sesuatu yang hendak menimbulkan beberapa isu apabila pasukan tewas dan ia kebiasaan yang akan berlaku.

“Bagi saya, tiada masalah dengan formasi sama ada 3-4-3 atau 4-3-3 atau apa jua formasi,” jelas Kim Swee.

Sukan SEA 2019 di Filipina adalah tugas terakhirnya bersama skuad B-22 negara selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam memutuskan untuk tidak melanjutkan kontraknya yang berakhir hujung tahun ini.

“Untuk 10 tahun atau lima kali edisi Sukan SEA, banyak pengalaman yang saya lalui. Ini pendedahan pengalaman cukup baik. Manis dan pahit yang dapat saya pelajari,” tambahnya. 

-- BERNAMA

 

Tentang Penulis

Bernama

Komen