Harapan untuk melihat jaket baru bernilai RM10,000 memberi tuah buat atlet menembak negara, Ezuan Nasir Khan, dalam Sukan SEA Filipina tidak kesampaian apabila dia terpaksa pulang ke tanah air tanpa sebarang pingat.

Harapan Ezuan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa dinafikan gandingan Singapura, Adele Tan dan Emmanuel Chan, dalam aksi 10 meter air rifle berpasukan campuran.

Ezuan yang berpasangan dengan Nur Suryani Mohd Taibi cuba memberikan tentangan sengit menerusi kebangkitan dramatik, namun bidikan terakhir menyaksikan pasangan Malaysia itu berputih mata tewas 17-15.

Sebelum itu, dia mara ke pentas akhir 10m air rifle individu lelaki tetapi nasib tidak menyebelahinya apabila sekadar menamatkan saingan di tempat keenam.

"Berat untuk saya menerima hakikat pulang tanpa sebarang pingat tetapi saya harus terima setelah melakukan yang terbaik. Jika dilihat secara peribadi, saya telah mencipta catatan tertinggi untuk tahun ini. Bukan rezeki saya dalam final," katanya.

Kegagalan itu seperti ulangan edisi Sukan SEA Myanmar 2013 apabila dia turut pulang hampa tanpa sebarang pingat.

Bagaimanapun, di sebalik kedukaan dalam temasya kali ini, Ezuan tetap memperoleh keyakinan dirinya semula dalam membuat bidikan terbaik setelah mendapat bantuan jaket baru bernilai RM10,000 untuk meneruskan kelangsungan kariernya sebagai penembak negara.

"Ia ibarat nyawa baru buat saya kerana sebelum ini, saya menggunakan jaket lama. Jaket baru memberikan keyakinan diri. Saya boleh pergi ke tahap lebih tinggi dan insya-Allah, selepas ini saya akan cuba perbaiki kesilapan lalu."