Chef-de-mission (CDM) Sukan SEA Filipina (CDM), Datuk Megat Zulkarnain Omardin, masih menunggu kata putus daripada pengurusan sukan Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) mengenai venue menembak yang belum dimuktamadkan.

Sebelum ini, pengurus sukan PHISGOC, Karen Caballero, mengesahkan dua venue, iaitu menembak dan boling padang, menghadapi masalah teknikal.

Namun, pihak tuan rumah telah membuat keputusan untuk memindahkan venue boling padang menggunakan gelanggang sedia ada.

"Kami diberi jaminan tidak akan ada masalah untuk venue tersebut. Seperti saya katakan, kami telah memberi kenyataan tegas, meminta agar venue sukan tidak ditukar. Seperti menembak, saya rasa perlu kekal dengan venue yang telah diputuskan," katanya.

Sementara itu, Megat Zulkarnain juga akan memastikan penundaan undian membabitkan lima sukan tanpa sebarang unsur sabotaj.

Undian itu sepatutnya berlangsung dalam mesyuarat ketua kontinjen, 28 hingga 30 Oktober lalu, tetapi sekali lagi ditunda sehingga hujung bulan ini.

"Saya akan mempertahankan pendirian sukan-sukan ini jika mereka risau dan ragu mengenai keputusan dibuat. Perkara ini tidak begitu elok."