Skuad menembak negara mempamerkan prestasi kurang membanggakan sepanjang tahun ini susulan gagal layak secara merit ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Bagaimanapun, mereka bertekad untuk menebus kegagalan itu dalam Sukan SEA Filipina hujung bulan ini.

Skuad negara gagal menempah tiket ke Sukan Olimpik selepas beraksi hambar dalam Kejohanan Menembak Asia di Doha, Qatar awal bulan ini.

Ia merupakan kali pertama Malaysia tidak mempunyai wakil dalam temasya itu sejak 1984, sekali gus mencalar kredibiliti dan reputasi penembak negara.

Justeru, jaguh negara, Johnathan Wong, berazam untuk memulihkan maruah itu dalam Sukan SEA.

"Sukan SEA adalah salah satu agenda utama tahun ini selain kelayakan ke Sukan Olimpik.

"Memang benar, kami gagal ke Sukan Olimpik tetapi kebanyakan atlet negara sudah begitu hampir (untuk layak).

"Secara satu pasukan, prestasi kami masih dalam keadaan baik," katanya.

Rakan sepasukannya, Ezuan Nasir Khan, dia yakin semangat berpasukan yang dimiliki skuad negara mampu menjadi pemangkin untuk melakar kejutan dalam temasya dwitahunan itu.

"Kami berjuang sebagai satu pasukan. Kalau berjaya, ia kejayaan secara bersama-sama kerana kami membawa nama Malaysia," katanya.