Pingat gangsa precision pistol dalam Sukan SEA Filipina hari ini menjadi simbolik buat penembak negara, Jantan Hintu, di sebalik masalah kesihatan isterinya yang sedang menghidap kanser.

Ketenangan di wajahnya tidak menampakkan sebarang petanda bahawa dia sedang diganggu masalah di luar lapangan.

Bidikan konsisten sepanjang lima siri tembakan di Markas Tentera Laut Filipina membawa pulangan manis dalam penampilan sulungnya itu.

Bagaimanapun, hanya dirinya tahu betapa sukar untuk mengharumkan nama negara di sebalik pengorbanan isteri tercinta, Rupinah Suhai, yang menghidap kanser.

"Isteri saya mengalami kanser payudara, dia telah banyak berkorban dan membenarkan saya untuk menyertai Sukan SEA kali ini.

"Ia adalah semangat buat saya untuk menghadirkan kejayaan kontinjen negara," katanya.

Bagi Jantan, yang memiliki perwatakan luar biasa sejajar dengan tugasnya dalam Rejimen Renjer Diraja Malaysia, perjuangan seterusnya adalah untuk bersama isterinya sebaik pulang ke tanah air.

"Saya akan berusaha untuk membantu isteri saya untuk sembuh daripada penyakit yang dialami," tambahnya.

Sementara itu, kempen skuad menembak dalam acara 10 meter air rifle lelaki tidak berhasil membutirkan pingat.

Harapan terbaik negara menerusi Ezuan Nasir Khan, bagaimanapun, sekadar menamatkan saingan akhir di tempat keenam.

"Aksi final ini sering bergantung kepada nasib.

"Mana-mana penembak mampu meraih pingat emas, namun saya tetap berpuas hati dengan keputusan yang diraih dalam saingan kelayakan," katanya.