Atlet menembak wanita negara, Nur Suryani Mohd Taibi, yakin masih mampu menamatkan penantian lapan tahun bagi pingat emas Sukan SEA walaupun tampil dengan aksi hambar dalam acara 10 meter air rifle individu wanita hari ini.

Kali terakhir dia memperoleh emas dalam temasya dwitahunan itu adalah pada 2011 di Palembang dengan mengungguli dua acara 10m air rifle dan 50m rifle 3 posisi.

Namun, atlet yang sudah berpengalaman membuat penampilan dalam Sukan SEA sebanyak enam kali itu terus buntu untuk menemui bidikan emas apabila tersingkir dalam pusingan akhir setelah hanya mampu mencatat 120.9 mata.

Sebelum itu, dia berjaya muncul lapan penembak terbaik ketika pusingan kelayakan dengan mencatat 617.6 mata.

"Sebagai manusia, bohong kalau tidak terkesan tetapi ia masih dalam kawalan," katanya.

Harapan untuk dia mengembalikan reputasinya kini adalah menerusi acara 10m air rifle berpasukan campuran bersama Ezuan Nasir Khan yang akan berlangsung di Pusat Latihan Marine Corps, Metro Manila, Khamis ini.

"Ia adalah acara berpasukan lelaki dan perempuan. Kalau salah seorang tidak pamer aksi terbaik, kami akan jatuh ke bawah," tambah Nur Suryani.