Menembak: Kejohanan Asia medan terbaik persiapan Zianyi

Oleh Penulis Jemputan 30 Oktober 2019 58
Menembak: Kejohanan Asia medan terbaik persiapan Zianyi
Kejohanan Menembak Asia bakal menjadi medan terbaik bagi persiapan penembak negara, Siau Zianyi, dalam penampilan sulungnya dalam Sukan SEA Filipina. 

Sebelum ini, Zianyi dipilih mewakili negara ke Filipina atas prestasi memberangsangkan dalam Kejohanan SEASA di Jakarta, Indonesia Julai lalu.

Dia meraih emas acara 10 meter air pistol berpasangan selain dua gangsa, masing-masing dalam acara 10m air pistol dan 50m free pistol. 

Atlet berusia 22 tahun itu akan berlepas ke Kejohanan Asia di Doha, Qatar bulan depan yang menjadi persiapan pentingnya sebelum ke Sukan SEA hujung bulan depan.

"Kejohanan di Jakarta membenarkan saya layak ke Sukan SEA. Ia melonjakkan keyakinan saya serta satu lagi kejohanan bulan depan akan dijadikan bekalan menghadapi saingan di Manila," katanya.

Sementara itu, penembak senior negara, Johnathan Wong, menganggap ini merupakan pendedahan terbaik buat rakan sepasukannya, Zianyi setelah menjadi pelapis negara selama tiga tahun, berjaya mempamer aksi konsisten dalam beberapa aksi kebelakangan ini. 

"Saya berasakan ini merupakan pendedahan terbaik buat Zianyi beraksi di Manila nanti. Ia juga akan digunakan sebagai pentas untuk dia memperbaiki mutunya bagi menghadapi saingan antarabangsa yang lain," katanya.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen