Penembak negara, Johnathan Wong, menjangkakan cabaran sengit untuk mempertahankan pingat emasnya dalam Sukan SEA Filipina bermula Sabtu ini sambil berharap kejayaan dalam temasya itu dapat mengubati kekecewaannya selepas gagal ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Atlet berusia 27 tahun itu mengakui ramai pencabar baru dalam edisi kali ini selepas memenangi pingat emas di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Baginya, kegagalannya dalam Kejohanan Menembak Dunia -- yang menawarkan tiket ke Sukan Olimpik -- di Qatar awal bulan ini membakar semangatnya untuk beraksi cemerlang dalam temasya dwitahunan itu.

"Secara peribadi, saya menyasarkan untuk meraih pingat.

"Tetapi dalam Sukan SEA terdapat ramai pencabar dan kebanyakan mereka (penembak yang) amat bagus.

"Ada yang dari Vietnam dan Thailand, jadi saya fikir harapan untuk mendapatkan pingat itu agak tinggi.

"Harap-harap saya dapat beraksi baik di sana," katanya.

Sementara itu, Johnathan enggan memikirkan tentang tiket peluang khas ke Tokyo kerana tidak mahu fokusnya di Filipina terganggu.

Dia merupakan antara tiga nama yang disenaraikan Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) selain Nur Suryani Taibi dan Bibiana Ng.

"Ia bukan fokus saya ketika ini kerana Sukan SEA sudah terlalu hampir.

"Saya hanya mengharapkan prestasi terbaik dalam Sukan SEA," tambahnya.