Menembak: Chee Kheng bawa semangat keluarga

Oleh Penulis Jemputan 10 Disember 2019 88
 Menembak: Chee Kheng bawa semangat keluarga
Penembak negara, Ong Chee Kheng, merangkul pingat gangsa Sukan SEA Filipina dalam acara trap individu selepas membantu skuad menembak negara meraih perak dalam acara berpasukan di Lapang Sasar Menembak Subic hari ini.

Chee Kheng dan Bernard Yeoh menempatkan diri dalam final selepas menyertai kelompok enam teratas pusingan kelayakan.

Bernard yang mendahului pusingan awal itu, bagaimanapun, gagal meneruskan rentak cemerlangnya apabila menjadi peserta pertama tersingkir dalam final.

Pemenang pingat perak edisi Kuala Lumpur dua tahun lalu itu sekadar menyempurnakan 17 daripada 25 tembakan.

Chee Kheng pula meneruskan saingan sebelum menjadi peserta ketiga terakhir tersingkir untuk berpuas hati dengan pingat gangsa.

"Ia merupakan final terbaik dalam karier saya.

"Ia tentang keluarga, saya memikirkan mereka sepanjang masa.

"Saya tidak tertekan atau apa-apa sahaja," katanya.

Terdahulu, skuad menembak negara hampir menjelmakan kilauan emas dalam acara trap berpasukan menerusi gandingan Bernard, Chee Kheng dan Cheng Seong Fook.

Trio menembak negara itu yang mendahului saingan hasil daripada aksi cemerlang Bernard, bagaimanapun, dipintas tuan rumah dalam pusingan terakhir.

Mereka menamatkan saingan dengan 331 mata, lapan mata di belakang Filipina, sekali gus terpaksa akur dengan perak untuk mengulangi pencapaian dalam Sukan SEA Singapura 2015.

"Pingat perak ini sudah cukup baik.

"Lebih indah jika dapat meraih emas tetapi perak lebih baik daripada gangsa.

"Jadi, saya amat gembira apabila kami bersatu sebagai satu pasukan dan memenangi perak," kata Bernard.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen