Hanya satu pingat emas dibawa pulang daripada lima sasaran yang diletakkan ke atas skuad memanah negara, sekali gus memerlukan perhatian Majlis Sukan Negara (MSN) ketika Malaysia dianggap raja di peringkat Asia Tenggara.

Jika perlu menekan butang panik, inilah masa yang paling sesuai sebaik sahaja Sukan SEA Filipina jelas menunjukkan prestasi pemanah negara di ambang bahaya.

Secara umum, semua pihak berbangga dengan wakil negara yang sinonim dalam saingan Olimpik seperti Khairul Anuar Mohamad, namun menjadi keraguan andai saingan di pentas Asia Tenggara gagal menyaksikan dominasi daripada kem kebangsaan.

"Jika dilihat daripada pandangan peribadi, secara keseluruhan memang agak kecewa. Namun, kami harus teruskan perjuangan kerana masih ada saingan Olimpik. Memang perkara ini menjadi sejarah, kali pertama saya tewas dalam saingan Sukan SEA," kata Khairul Anuar.

Dalam kesukaran mereka mencari emas, trio compound lelaki negara muncul sebagai penyelamat apabila mengutip emas tunggal, sekali gus mempertahankan emas acara berpasukan lelaki sejak temasya Kuala Lumpur 2017.

"Memang ini saingan paling sukar. Perlu bergelut untuk dapatkan satu pingat. Lagipun, untuk membawa segala beban apabila gagal, memang sukar. Namun, Alhamdulillah, saya lebih fokus untuk kawal rakan sepasukan," ujar pemanah compound negara, Juwaidi Mazuki.

Sudah tiba masa untuk MSN duduk berbincang bagi menyelesaikan isu layanan sama rata di antara skuad recurve dan compound, sekurang-kurangnya demi kesinambungan kecemerlangan skuad memanah di masa akan datang.