Masalah peralatan menjadi punca Malaysia gagal melangkah ke final bagi saingan memanah acara berpasangan campuran sekali gus meranapkan hasrat mempertahan kilauan pingat emas dalam Sukan SEA Filipina.

Atlet kebangsaan, Juwaidi Marzuki, mengakui kecewa gagal mempertahankan emas bagi acara berpasangan campuran sewaktu beraksi bersama Fatin Nurfatihah Mat Salleh, hari ini.

Ia ekoran catatan Fatin yang gagal membantu pasangan itu meraih kutipan mata yang lebih baik.

Bagaimanapun, dia tidak menyalahkan prestasi pasangannya tetapi menyedari masalah teknikal melibatkan peralatan Fatin yang mengganggu catatan mereka.

"Dalam pusingan terakhir, memang saya lihat segalanya baik buat Fatin tetapi dikenal pasti mengapa begitu jauh tersasar. Itu bukan titik yang patut dituju Fatin walaupun gementar," kata Juwaidi.

Bagaimanapun, acara trio lelaki menepati sasaran untuk memenuhi slot final berdepan Vietnam yang akan berlangsung Isnin depan selepas gandingan Juwaidi, Khambeswaran Mohanaraja dan Zulfadli Ruslan mengatasi Thailand 234-229.

"Pertama sekali memang saya harap ke final tetapi sedar individu bukan pilihan utama. Geram dan kecewa itu normal, saya mahu perbaiki lagi."