Skuad memanah negara akhirnya mampu mengukir senyuman apabila menamatkan penantian pingat emas dalam Sukan SEA Filipina menerusi acara compound berpasukan lelaki di Parade Ground, Clark sebentar tadi.

Trio negara, yang dibarisi Muhammad Juwaidi Mazuki, Zulfadhli Ruslan dan M. Khambeswaran, muncul juara dengan mengetepikan gandingan Vietnam dengan keputusan 224-216 bagi mempertahankan acara yang dikuasai negara sejak dua edisi lalu di Singapura pada 2015 dan Kuala Lumpur dua tahun lalu.

"Sebelum kami datang ke sini, inilah yang menjadi sasaran utama saya.

"Di atas kertas, kami memang boleh menang tetapi selepas beberapa kali kejadian (yang melanda kem memanah), (perjuangan kami) menjadi berat.

"Kami cuba kawal apa yang mampu dilakukan, kami fokus apa boleh dilakukan selain daripada tekanan dan gemuruh," kata Juwaidi.

Sementara itu Zulfadhli, menganggap teknik 'berinteraksi' dengan peralatan membantunya dalam meraih mata.

"Saya perlu membuat sasaran rendah pada saat-saat akhir, jadi ia salah satu tekniknya.

"Memanglah anak panah itu laju, tetapi "saya ibarat 'berinteraksi' dengan peralatan dan ia membantu saya untuk mendapatkan mata yang diperlukan memandangkan panahan saya yang paling buruk dalam trio ini," katanya.

Khambeswaran yang merupakan atlet termuda dalam kalangan mereka gembira apabila rakan-rakan seniornya banyak memberi panduan.

"Mereka banyak tolong saya dari mula sehingga panahan terakhir.

"Walaupun selepas baru beraksi, Juwaidi akan meminta saya menyambung latihan di pusat penginapan.

"Jadi, saya ikut sahaja arahannya," katanya pula.