Atlet memanah recurve wanita, Nur Aliya Ghapar, mengidamkan penampilan kali keempat dalam Sukan SEA Filipina, November depan mampu untuk menamatkan penantian emas acara individu sejak mula beraksi dalam edisi 2013.

Dia mula membuat penampilan dalam temasya berkenaan sejak berumur 17 tahun, bermula di Nay Pyi Taw, Myanmar pada 2013, namun gagal meraih sebarang pingat.

Bagaimanapun, sejak detik itu, dia mula mengorak langkah dengan meraih pelbagai pingat untuk dua edisi seterusnya di Singapura 2015 dan Kuala Lumpur 2017, namun masih gagal untuk mencapai misi peribadi meraih emas bagi acara individu recurve wanita.

Percubaan terbaiknya adalah di Kuala Lumpur apabila meraih gangsa tetapi kedukaannya berjaya ditebus apabila prestasinya dalam acara berpasukan bersama Nur Afisa Abd Jalil dan Nuramalia Haneesha Mazlan membuahkan emas.

"Pada waktu itu, saya tidak meletakkan harapan untuk pergi ke final. Lagipun, saya cuba beraksi seperti biasa tetapi syukur saya dapat gangsa," katanya.

Aliya dan rakan sepasukan dalam skuad memanah akan terbang ke Clark, Filipina bulan depan bagi menguji venue untuk Sukan SEA tahun ini.

"Saya harap persekitaran akan bagus bagi membolehkan kami mudah menyesuaikan diri untuk beraksi."