Ketua kontinjen negara ke Sukan SEA Filipina, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, berpuas hati dengan keputusan undian lima jenis sukan dan akan membantah jika penganjur mahu mengadakan proses itu semula.

Majlis undian Sukan SEA hanya membabitkan lima jenis sukan, iaitu bola sepak, bola tampar, polo air, badminton dan hoki dalam air.

Lima lagi sukan tidak mendapat lampu hijau badan induk antarabangsa, sekali gus terpaksa ditunda dalam Mesyuarat Ketua Kontinjen, 28 hingga 30 Oktober ini kerana mahu menunggu tarikh tutup pendaftaran atlet Jumaat ini.

Apa yang menarik, skuad bola sepak B-22 negara mendapat laluan mudah apabila diundi dalam Kumpulan A, namun keadaan boleh berubah jika ada negara membantah proses undian itu.

"Saya akan pertahankan undian ini. Bantahan harus dilakukan sebelum undian dilakukan, itu adalah prosedur yang betul," kata Megat Zulkarnain.

Malaysia, pemenang emas bola sepak enam kali temasya berkenaan berjaya mengelak juara bertahan, Thailand dalam Kumpulan B.

Sementara itu, Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail, kecewa kerana penganjur tetap meneruskan undian.

Skuad sepak takraw negara berdepan tugas berat mencapai sasaran sekurang-kurangnya satu pingat emas Sukan SEA Filipina, bulan depan apabila Thailand dikatakan menyertai acara regu dan berpasukan ketika undian saingan itu terpaksa ditunda.

"Situasi yang berbeza jika dibandingkan ketika Sukan SEA Singapura 2015, Kuala Lumpur 2017 dan Sukan Asia Indonesia. Pada waktu itu, Thailand tidak mengambil bahagian dalam acara regu, namun kali ini mereka terlibat dalam acara tersebut," kata Ahmad.

Bagi pihak Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC), mereka yakin tiada negara akan membantah keputusan undian walaupun diadakan sebelum tarikh tutup pendaftaran atlet Jumaat ini.

Undian sepak takraw akan diadakan dalam Mesyuarat Ketua Kontinjen sementara baki empat lagi sukan ketika mesyuarat pengurus pasukan beberapa hari sebelum temasya dwitahunan itu bermula.

"Sesetengah sukan terpaksa dilakukan undian beberapa hari sebelum saingan Sukan SEA bermula dan saya berasakan ia tidak akan menghadirkan sebarang kesulitan," kata Ketua Pegawai Operasi PHISGOC, Ramon Suzara.

"Kami yakin tidak bantahan yang bakal disuarakan mana-mana negara kerana perkara ini telah dimaklumkan kepada wakil yang bertanding dan kami tidak melanggar sebarang peraturan kejohanan," kata Pengarah Sukan PHISGOC, Karen Claire Caballero.