Megat Zulkarnain hargai sokongan 10 CDM pulangkan emas

Oleh Penulis Jemputan 10 Disember 2019 713
Megat Zulkarnain hargai sokongan 10 CDM pulangkan emas
Chef-de-mission (CDM) ke Sukan SEA Filipina, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, berterima kasih kepada ketua kontinjen daripada 10 negara lain yang memberi sokongan sehingga pihak penganjur memulangkan semula pingat emas milik gimnas negara, Izzah Amzan. 

Selepas melanjutkan perkara tersebut dalam satu mesyuarat rasmi semalam, Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (PHISGOC) bersetuju untuk mengembalikan pingat emas yang seharusnya menjadi milik atlet negara itu. 

Pingat emas itu ditarik semula selepas Izzah melakukan catatan mata yang sama dengan rakan sepasukan, Koi Sie Yan, dalam acara aparatus reben wanita. 

"Selepas bantahan yang dilakukan semalam, pingat emas acara reben telah diberikan semula kepada Izzah dan bilangan emas itu akan dimasukkan semula ke dalam bilangan keseluruhan emas yang diraih kontinjen negara," katanya.

Megat Zulkarnain masih menunggu keputusan bantahan kedua tentang isu pingat emas yang sepatutnya menjadi milik atlet 110 meter berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian, yang turut berkongsi catatan masa (13.97s) bersama wakil naturalisasi tuan rumah, Clinton Kingsley Bautista. 

"Jawapan yang mereka berikan tidak sama seperti bantahan yang telah kami lakukan. Saya telah bertemu pihak PHISGOC dan terdapat kekhilafan dalam layanan mereka kepada pengurus skuad olahraga negara, Sallehuddin Satar.

"Ia terbukti pihak pengurusan penganjuran Sukan SEA kali ini tidak bertindak efektif daripada segi mutu pengadilan dan permarkahan. Tidak termasuk masalah daripada segi logistik atlet-atlet negara ketika berada di Manila," kata Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia, Rachel Lau.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen