Atlet sukan tempuh halangan negara, Mohd Redha Rozlan (Mat Redho), tetap menyasarkan tiga pingat emas dalam Sukan SEA Filipina bulan depan biarpun menghadapi kesukaran untuk mendapatkan latihan sempurna.

Rutin 10 halangan dalam setiap acara itu sudah dikenalinya, namun sesi latihan hariannya tidak dapat memenuhi corak latihan sebenar kerana ketiadaan fasiliti terbaik di Malaysia.

Juara Ninja Warrior itu hanya menggunakan kreativitinya untuk mempersiapkan diri menjelang temasya dwitahunan itu.

"Atlet di sana sudah mengadakan persembahan dan terbiasa dengan halangan yang ada.

"Malaysia tiada halangan itu, kami hanya fokus terhadap larian dan pendakian.

"Selain itu, kami turut melakukan simulasi dengan perkara yang lebih kurang sama.

"Setakat ini, saya rasa dari September lalu, kami sudah bersedia 100 peratus sebagai seorang atlet," katanya.

Walaupun tanpa latihan sistematik, ia bukan penghalang buat atlet kelahiran Kuantan itu untuk memastikan podium utama menjadi miliknya.

"Untuk atlet tempuh halangan, kami sememangnya tidak cukup fasiliti.

"Tetapi kami memang menyasarkan pingat emas dan akan menggunakan setiap benda yang lebih kurang sama," tambahnya.