Masalah jerebu: MSN sediakan program latihan alternatif

Oleh Staff Writer 23 September 2019
Masalah jerebu: MSN sediakan program latihan alternatif
Majlis Sukan Negara (MSN) akan menyediakan program latihan alternatif di luar Kuala Lumpur seandainya masalah jerebu berterusan.

Ia sebagai langkah untuk memastikan program latihan setiap atlet dapat diteruskan menjelang Sukan SEA Filipina, November depan.

Masalah jerebu yang melanda negara semakin meruncing dan sesetengah program latihan atlet terpaksa dipendekkan atau dihentikan disebabkan faktor kesihatan.

Justeru, MSN meluluskan permohonan beberapa persatuan sukan untuk berlatih di luar Kuala Lumpur bagi memastikan persiapan ke temasya dwitahunan itu tidak terjejas.

"Ada sesetengah persatuan sukan sudah merancang untuk memindahkan latihan mereka ke kawasan yang tidak ada jerebu.

"Contohnya, skuad ragbi wanita merancang untuk mengadakan latihan di Kedah, jadi kami telahpun memberikan kelulusan secara rasmi untuk mereka membuat persiapan.

"Beberapa pasukan yang menjalani kem latihan di luar Kuala Lumpur juga telah kami berikan kelulusan," kata Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin.

Tambahnya, MSN sentiasa memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dan bekerjasama dengan Institut Sukan Negara (ISN) bagi memastikan kesihatan atlet tidak terjejas dengan masalah berkenaan.

"Nasihat kami kepada atlet, sekiranya bacaan IPU berbahaya, mereka dinasihatkan untuk tidak berlatih di kawasan terbuka.

"Mereka boleh menjalani latihan di dalam dewan atau di tempat latihan tertutup.

"Kebanyakan mereka telah mematuhi peraturan yang dikeluarkan pihak ISN dan MSN," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen