MALAYSIA 1 MYANMAR 1

Skuad B-22 negara mempamerkan aksi hambar untuk diikat 1-1 oleh Myanmar dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A, Sukan SEA Filipina di Stadium Memorial Rizal, Manila sebentar tadi.


Hadi Fayyadh Abdul Razak memadamkan jaringan pembukaan Soe Moe Kyaw dalam babak pertama, namun ia tidak cukup untuk skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu meraih mata penuh selepas mensia-siakan deretan peluang dalam babak kedua.

Malaysia membariskan tujuh pemain daripada skuad senior, Haziq Nadzli (penjaga gol), Adam Nor Azlin, Dominic Tan, Syahmi Safari, Syamer Kutty Abba, Daniel Amier Norhisyam dan Akhyar Rashid, tetapi gagal beraksi kemas dengan penguasaan permainan kerap terhenti di bahagian tengah.

Turun selaku naib juara edisi lalu, skuad negara sepatutnya tidak berdepan masalah untuk menundukkan pasukan kendalian Velizar Popov itu, namun Moe Kyaw merentap keyakinan itu apabila menanduk masuk bola daripada sepakan penjuru ketua pasukan, Hlaing Bo Bo, pada minit ke-13.

Berselang 11 minit, Akhyar memintas bola hantaran ke belakang Aung Naing Win dalam kawasan penalti sebelum melintangkan hantaran yang disudahkan Hadi Fayyadh di "near post'.

Hadi Fayyadh hampir mengubah kedudukan itu pada penghujung babak pertama tetapi tandukannya susulan sepakan percuma Daniel Amier sekadar hinggap di palang gol lawan.

Malaysia meningkatkan penguasaan dalam babak kedua dan hampir menambah jaringan apabila percubaan rendah Akhyar diselamatkan penjaga gol, Sann Satt Naing, pada minit ke-53 sebelum sepakan percuma Adam terkena palang.

Syamer turut berpeluang menjadi penjaring gol kemenangan Malaysia dalam waktu kecederaan tetapi peluang yang terhidang di dalam kawasan penalti itu sekadar diakhiri dengan sepakan yang melambung tinggi.