Penggempur utama skuad B-22 negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak, mengakui Malaysia perlu mencetak lebih jaringan dalam baki tiga perlawanan Kumpulan A, Sukan SEA Filipina memandangkan ia akan menjadi faktor penentu pasukan yang akan ke separuh akhir.

Setakat ini, kedudukan dalam Kumpulan A masih seimbang dengan empat pasukan, iaitu Malaysia, Myanmar, Kemboja dan tuan rumah, Filipina, mengutip satu mata selepas seri 1-1 dalam perlawanan pertama masing-masing semalam.

Timor Leste pula hanya akan memulakan saingan dengan menentang Myanmar esok.

Selaku penjaring tunggal skuad negara ketika menentang Myanmar, Hadi Fayyadh mengakui Malaysia sudah tidak boleh mensia-siakan peluang di depan gawang.

"Memang harapan saya sebagai penyerang untuk menjaringkan gol.

"Saya juga mengharapkan rakan-rakan untuk menjaringkan gol.

"Hari ini (semalam), beberapa percubaan kami terkena palang.

"Rezeki tidak berpihak kepada kami hari ini.

"Saya harap kami akan meningkat dan cuba menjaringkan sebanyak mungkin," katanya selepas perlawanan.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, tampil untuk menjelaskan keadaan Akhyar Rashid.

Penyerang tu dilaporkan masih cergas biarpun terpaksa dikeluarkan gara-gara kecederaan paha dalam perlawanan di Stadium Memorial Rizal, Manila semalam.

Malaysia perlu menewaskan Filipina dalam perlawanan berikutnya Jumaat ini seandainya mahu mencerahkan peluang ke separuh akhir.

"Akhyar bukannya mengalami kecederaan, ia hanya kekejangan otot.

"Kita tahu padang sintetik tidak begitu mudah untuk bermain.

"Dengan larian-larian yang dilakukan Akhyar, ia pasti akan membebankannya.

"Tetapi ia bukanlah kecederaan yang serius," katanya.