Sukan SEA Filipina dibuka secara rasmi dengan penuh tradisi dalam satu upacara pembukaan penuh gilang-gemilang di stadium tertutup terbesar dunia, Philippines Arena, di Bulacan, Manila, sebentar tadi.

Buat pertama kalinya dalam sejarah 60 tahun sukan dwitahunan itu, upacara perasmiannya berlangsung dalam dewan tertutup dan bukannya di stadium.

Lebih menarik lagi, dalam Sukan SEA kali ini, kawah obor sukan itu diletakkan di lokasi berbeza, iaitu di Stadium Olahraga New Clark yang terletak kira-kira 90 kilometer dari Bulacan dan majlis penyalaan obor itu disiarkan melalui skrin di arena yang berkapasiti 55,000 orang itu.

Upacara perasmian dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Filipina oleh Lani Misalucha, diikuti persembahan bertenaga bertemakan ‘The Roots of our Strengh’ yang menunjukkan pelbagai kebudayaan dan warisan negara itu.

Ia dipersembahkan dengan siri tarian pahlawan dari Bagobo, Kalinga, Maguindanao, Islamik dan pre-Hispanik Visayans.

Perarakan kontinjen diiringi sorakan ceria penonton sebaik sahaja memasuki arena itu dalam susunan mengikuti abjad bermula dengan Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand, Timor Leste, Vietnam dengan kontinjen tuan rumah menjadi pasukan terakhir yang memasuki arena.

Kontinjen Malaysia didahului pembawa Jalur Gemilang dan juara dunia boling 2018, Rafiq Ismail, diikuti lebih 100 atlet dan pegawai, termasuk chef-de-mission (CDM), Datuk Megat Zulkarnain Omardin, dan dua timbalannya, Nurul Huda Abdullah dan Ahmad Faedzal Md Ramli.

Dengan berbaju Melayu dan berbaju kurung berwarna putih selain bersamping warna merah serta bertengkolok (bagi lelaki) manakala selendang bermotifkan Jalur Gemilang bagi wanita, tuan rumah Sukan SEA 2017 itu berjalan di hadapan penonton dengan penuh semangat dan menunjukkan kepelbagaian bangsa di Malaysia.

Selepas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, mengisytiharkan pembukaan Sukan SEA Ke-30, penonton dipersembahkan dengan satu persembahan moden dan hip hop bertenaga oleh artis tempatan, antaranya Inigo Pascual, Robert Sena, Apl.de.Ap dan KZ Tandingan sebelum acara penyalaan obor ditayangkan di skrin.

Peninju berkelas dunia dari Filipina, Manny Pacquiao dan Nesthy Petecio, diberikan penghormatan sebagai pembawa obor sebelum mereka menyalakan kawah obor yang menandakan bermulanya temasya berkenaan.

Dengan tema ‘We Win As One’, Sukan SEA kali ini akan berlangsung selama 12 hari sehingga upacara penutupan rasminya di Stadium Olahraga New Clark pada 11 Disember.

Lebih 8,000 atlet dari 10 negara ASEAN dan Timor Leste akan bertanding dalam 530 acara daripada 56 jenis sukan di tiga kluster utama, iaitu Manila, Clark dan Subic.

Sukan SEA kali ini merupakan kali keempat Filipina menjadi tuan rumah selepas 1981, 1991 dan kali terakhir pada 2005.

Sukan SEA kali ini juga memperkenalkan beberapa sukan baru, antaranya arnis, jujitsu, kickboxing, hoki dalam air dan e-sukan.

Selaku juara bertahan, Malaysia menghantar satu kontinjen yang kuat dengan 773 atlet dan 339 pegawai dengan menyertai 52 jenis sukan dan menyasarkan untuk membawa pulang 70 emas, 51 perak dan 105 gangsa untuk kedudukan tempat keempat.

-- BERNAMA