Biarpun pernah menyertai pelbagai kejohanan antarabangsa, atlet luncur ombak negara, Didaqt Musaddiq, tetap teruja untuk melakukan penampilan pertamanya dalam Sukan SEA Filipina bermula Sabtu ini.

Diletakkan sebagai sandaran untuk meraih pingat, dia berkongsi keterujaannya untuk beraksi dalam temasya dwitahunan itu.

Kejayaan menamatkan Kejohanan Renxtop di India, Ogos lalu selaku pemenang tempat ketiga meningkatkan keyakinannya untuk meraih pingat di Filipina.

Dia tidak risau dengan keadaan ombak di Pantai San Juan, yang akan menjadi venue temasya itu, namun mengharapkan cuaca yang baik pada hari pertandingan.

"Saya pernah ke Filipina awal tahun ini. (Keadaan) ombaknya hampir sama seperti Malaysia," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

"Perbezaannya, pantai di sana mempunyai terumbu karang di dasar.

"Ia agak berbahaya tetapi ia cuma perkara biasa."

Dalam pada itu, Didaqt menjangkakan saingan sengit daripada atlet Indonesia memandangkan keadaan ombak di negara itu amat sesuai untuk melakukan latihan rapi.

"Kejohanan antarabangsa lebih susah berbanding kejohanan peringkat Asia (Tenggara), jadi saya menyasarkan pingat emas.

"Peluncur dari Indonesia dan Filipina mungkin (pesaing yang) agak sukar tetapi jika ada rezeki, kami boleh pergi jauh," tambahnya.