Skuad luncur ais wanita negara menempa laluan sukar dalam penentuan pingat Sukan SEA Filipina, Ahad ini apabila gagal mengumpul mata yang baik dalam pusingan kelayakan short program hari ini.

Malaysia menghantar dua wakil dalam acara figure skating, iaitu Aina Sorfina Mohd Aminudin dan Chew Sze Chyi.

Kedua-dua wakil negara itu, bagaimanapun, gagal mengawal gemuruh dan terlepas beberapa aksi lompatan dan pusingan.

Aina Sorfina berada di tangga keenam dengan 45.700 mata manakala Sze Chyi berada satu anak tangga di bawah dengan 22.800 mata.

"Saya hanya fokus untuk tidak jatuh dan sepatutnya dapat mempamerkan aksi yang lebih baik.

"Tetapi pusingan saya agak baik, cuma lompatan tidak menjadi," kata Aina Sorfina.

"Saya amat gugup dan tidak dapat mengawal pergerakan.

"Disebabkan itu saya tidak dapat beraksi baik," tambah Sze Chyi pula.